RM200 Juta Untuk FTES, Perluas Akses Pendidikan Tinggi Anak Sarawak
KUCHING: Peruntukan RM200 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi meneruskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dijangka memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak Sarawak, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang berkata, skim berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 10,600 pelajar menerusi pengecualian yuran pengajian serta pemberian elaun khas kepada mereka yang layak.
“Ini merupakan satu lagi langkah menggalakkan dalam pendekatan inklusif terhadap pendidikan, dengan mengiktiraf kepelbagaian laluan pendidikan serta memastikan anak Sarawak yang layak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Tambah beliau, FTES turut membuka peluang kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menikmati manfaat skim tersebut tanpa syarat lulus Bahasa Melayu, tertakluk kepada syarat kemasukan universiti dan program pengajian masing-masing.
Katanya, pendekatan inklusif itu dapat membantu mengurangkan kekangan kewangan keluarga, di samping memberi peluang lebih luas kepada anak Sarawak yang memenuhi syarat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris serta pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Jelasnya, bidang berkenaan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya sektor tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tinggi.-EDISI UKAS