Projek Tebatan Banjir Keempat Sibu Bernilai RM120 Juta Perlu Disegerakan
KUCHING: Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Keempat Sibu bernilai RM120 juta perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko banjir dan melindungi kediaman, perniagaan serta mata pencarian penduduk, termasuk di kawasan Bukit Assek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, projek itu dijangka melindungi kira-kira 618 hektar kawasan tanah, sekali gus membantu menangani masalah banjir yang sekian lama dihadapi penduduk Sibu.
“Saya menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya mempercepatkan pelaksanaannya dan berharap proses tender dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana usaha tebatan banjir yang berkesan amat penting untuk melindungi kediaman, perniagaan dan mata pencarian penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan mitigasi banjir, beliau turut memperjuangkan pelaksanaan Fasa Kedua Projek Tebatan Banjir Sentosa serta projek tebatan banjir di Kampung Saujana bagi menambah baik sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir kepada penduduk terjejas.
Difahamkan, Fasa Pertama Projek Tebatan Banjir Sentosa yang melibatkan peruntukan RM21.38 juta telah selesai.
Dalam pada itu, Joseph Chieng turut mencadangkan pembinaan jalan penghubung baharu yang menghubungkan Bulatan Jalan Aman dengan Jalan Tunku Abdul Rahman.
Jelasnya, jalan yang dicadangkan ini akan menyediakan laluan alternatif, meningkatkan hubungan jalan raya dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Saya akan terus memperjuangkan pelaksanaannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” tegas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery