Setiausaha Kerajaan Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan Ziarah Keluarga Allahyarham Pegawai Daerah Kabong
KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama barisan Ketua Jabatan hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Tahir Mohd Sharee, Pegawai Daerah Kabong yang meninggal dunia pada usia 53 tahun, Ahad lalu.
Kunjungan tersebut sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap jasa serta sumbangan Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Sarawak, khususnya dalam memacu pentadbiran dan pembangunan Daerah Kabong.
Dalam kunjungan itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyampaikan ucapan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang.
Allahyarham mula berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kabong pada 1 Mac 2024 dengan menggalas tanggungjawab mengurus pentadbiran daerah serta menyelaras pelaksanaan pembangunan demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Allahyarham meninggalkan seorang balu yang bertugas sebagai guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching serta empat orang cahaya mata.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datu Dzulkornain Masron, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad, Pengarah Unit Pentadbiran, Rusmaliza Mat Darus dan Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali, Timbalan CEO SSC, Khairul Nizam Morshidi dan Timbalan Imam Besar Negeri Sarawak, Ustaz Mohammad Ihsan Haidzir.-EDISI UKAS