ACL2: KCFC Sedia Beri Saingan Sengit Kepada Kitchee SC
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) bersedia memberikan saingan sengit kepada juara Hong Kong Premier League, Kitchee SC dalam aksi AFC Champions League Two (ACL2) yang bakal berlangsung di Stadium Taha Ariffin pada Khamis.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, pasukannya bertekad mempamerkan persembahan terbaik bagi membuktikan kemampuan bersaing di peringkat Asia, meskipun berdepan tempoh persiapan yang singkat disebabkan jadual perlawanan yang padat.
“Saya fikir, memandangkan perlawanan kali ini berlangsung di laman sendiri, sudah tentu kami mahu mempamerkan persembahan yang baik.
“Dalam perlawanan lalu, kami tidak memperoleh keputusan yang baik. Kali ini, apabila bermain di laman sendiri, kami mahu membuktikan bahawa kami mampu menjadi pasukan yang baik dalam pertandingan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stadium Taha Ariffin, di sini, pada Rabu.
Menurut Aidil, pihaknya menyedari cabaran yang bakal diberikan Kitchee SC, yang mempunyai ramai pemain berkualiti serta sistem permainan yang tersusun berdasarkan analisis rakaman perlawanan mereka.
Tambahnya, Kitchee SC juga sudah biasa beraksi dalam pelbagai kejohanan sejak beberapa tahun lalu termasuk memenangi juara liga.
Justeru katanya, setiap perlawanan di laman sendiri amat penting, bukan sahaja untuk mendapatkan keputusan positif, malah sebagai penghargaan kepada penyokong yang sanggup datang dari seluruh Sarawak untuk memberikan sokongan kepada pasukan.
“Kita tidak dapat mengawal keputusan perlawanan, tetapi kita boleh mengawal persembahan dan sikap pemain serta pasukan. Seperti yang saya katakan, ini perlawanan di laman sendiri dan kami mahu memberikan yang terbaik.
“Kami perlu menganggap setiap perlawanan seperti perlawanan akhir kerana perjalanan selepas ini bukan mudah. Kami menyedari hakikat itu dan perlu meningkatkan lagi tahap permainan kami,” tegas beliau. -EDISI UKAS