KUCHING: Kapten Kuching City FC (KCFC), James Okwuosa dijangka kembali memperkuatkan skuad The Cats menjelang pertemuan menentang Kitchee SC dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) yang bakal berlangsung di Stadium Taha Ariffin pada Khamis.
Ketua Jurulatih KCFC Aidil Sharin Sahak berkata, berita baik itu merupakan perkembangan positif buat pasukan yang sedang membuat persiapan menghadapi cabaran juara bertahan Hong Kong Premier League itu.
“Kami mahu menggunakan pemain yang ada dengan sebaik mungkin. Dalam perlawanan liga yang lalu, saya melakukan tujuh pertukaran pemain bagi memastikan pemain yang lebih segar dapat diturunkan serta mengelakkan kecederaan dan keletihan.
“Bagi perlawanan ini, kami juga mahu mengumpulkan pemain terbaik. Peraturan yang membenarkan penggunaan pemain import tanpa had turut menjadi satu kelebihan kepada pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Stadium Taha Ariffin, di sini, pada Rabu.
Aidil Sharin berkata, pihak kejurulatihan turut mengambil langkah mengurus kecergasan pemain menerusi penggiliran dalam perlawanan liga terdahulu bagi mengurangkan risiko kecederaan dan keletihan susulan jadual perlawanan yang padat.
Tambahnya, kebenaran menggunakan pemain import tanpa had dalam pertandingan itu turut memberikan lebih banyak pilihan kepada pasukan untuk membentuk kesebelasan terbaik.
Justeru, beliau berharap kepulangan James serta kesiapsiagaan pemain lain dapat membantu KCFC memberikan persembahan terbaik, terutama ketika beraksi di laman sendiri. -EDISI UKAS