KUCHING: Penyerang Kuching City FC (KCFC), Dylan Wenzel-Halls bersedia memanfaatkan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa bagi membantu pasukan itu menghadapi cabaran Kitchee SC dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, pada Rabu.
Menurutnya, beliau yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa bersama kelab bola sepak Australia Central Coast Mariners memberikannya gambaran mengenai tahap persaingan yang lebih tinggi, khususnya dari segi kepantasan permainan dan kualiti pasukan lawan.
Ujarnya, pengalaman itu mampu membantu dirinya menyesuaikan diri dengan tuntutan pertandingan berkenaan, selain menyumbang kepada usaha pasukan untuk mempamerkan persembahan terbaik.
“Pengalaman tersebut mengajar saya bahawa bola sepak Asia berada pada tahap yang berbeza, dengan permainan yang lebih pantas berbanding bola sepak domestik. Pengalaman itu membantu saya secara peribadi.
“Bagi kami sebagai sebuah pasukan, peluang untuk kembali beraksi di pentas Asia merupakan pengalaman dan peluang yang sangat baik.
“Saya berharap dapat membantu pasukan dengan apa jua cara, sama ada melalui pengalaman atau sumbangan di atas padang, bagi membantu kami menghasilkan persembahan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stadium Taha Ariffin, di sini, pada Rabu.
Beliau turut mengakui Kitchee SC merupakan pasukan berpengalaman dan berkualiti di peringkat Asia di mana KCFC perlu memberikan saingan sengit serta melaksanakan perancangan taktikal yang ditetapkan oleh barisan kejurulatihan.
Mengulas perkembangan pasukan, Dylan berkata, prestasi KCFC semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan, selain keserasian dan persefahaman antara pemain juga semakin kukuh.
Menurutnya, penggiliran pemain serta jadual perlawanan yang padat menuntut setiap pemain menyesuaikan diri dengan kombinasi rakan sepasukan yang berbeza.
Bagaimanapun, beliau yakin proses itu akan membantu memperkukuh keserasian pasukan dalam menghadapi perlawanan seterusnya.
Dylan turut memberi jaminan bahawa seluruh pasukan akan memberikan komitmen sepenuhnya tanpa mengira keputusan perlawanan, demi membanggakan penyokong serta membawa nama Sarawak dan Malaysia di pentas Asia. -EDISI UKAS