AirBorneo Digesa Perkukuh Jaringan Penerbangan Dari Sibu
KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa mempertimbangkan usaha memperkukuh jaringan penerbangan AirBorneo dari Sibu, khususnya bagi laluan Sibu–Kuching, Sibu–Kuala Lumpur dan Sibu–Kota Kinabalu apabila kumpulan kedua pesawat tiba untuk beroperasi di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, penduduk Sibu termasuk Zon Tengah di Sarawak masih berdepan tambang penerbangan yang tinggi, kekerapan penerbangan yang berkurangan serta pilihan penerbangan terus yang terhad.
“Bagi rakyat Sarawak, perjalanan udara bukanlah satu kemewahan, sebaliknya merupakan perkhidmatan penting untuk urusan perniagaan, pendidikan, rawatan perubatan, pekerjaan dan komitmen keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambahnya, laluan Sibu–Kuching amat penting untuk menghubungkan Sarawak Tengah dengan ibu negeri, manakala penerbangan terus ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pula penting bagi menyokong aktiviti perniagaan, pelancongan dan hubungan serantau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery