Projek Loji Rawatan Air Rantau Panjang Capai Kemajuan Fizikal 99 Peratus
KUCHING: Projek Loji Rawatan Air Rantau Panjang yang mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 99 peratus setakat 25 September tahun ini dijangka memperkukuh bekalan air kepada penduduk dan sektor perindustrian di Sibu serta kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, projek itu merupakan antara usaha penting untuk menangani masalah tekanan air rendah dan bekalan air yang sekian lama menjejaskan penduduk serta perniagaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan Sijil Siap Kerja (CPC) bagi projek tersebut telah dijalankan pada awal Oktober ini.
“Saya menantikan pelancaran rasmi kemudahan ini selepas persidangan DUN. Projek ini akan memperkukuh bekalan air ke Rantau Panjang dan kawasan sekitarnya, termasuk kawasan perumahan, rumah panjang serta zon perindustrian pembinaan kapal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, Joseph memberitahu, projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim turut menunjukkan kemajuan dengan pencapaian fizikal sebanyak 93.22 peratus setakat September ini
Ujarnya, projek naik taraf tersebut akan menggandakan kapasiti rawatan loji daripada 150 juta liter sehari kepada 300 juta liter sehari, sekali gus meningkatkan keupayaan bekalan air bagi memenuhi keperluan penduduk dan sektor perindustrian di Sibu.
Namun, beliau menggesa Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Sarawak Waters Sdn. Bhd. memastikan pelaksanaan kedua-dua projek itu menghasilkan penambahbaikan ketara terhadap tekanan air dan kebolehpercayaan bekalan di peringkat isi rumah serta industri.
Jelasnya, pemantauan berterusan amat penting terhadap rangkaian pengagihan air selain mempercepatkan kerja menaik taraf saluran paip dan kemudahan penyimpanan air bagi memenuhi peningkatan keperluan penduduk dan industri di Sibu. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery