Kajian Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak Dijangka Siap Hujung Tahun Ini
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan Kajian Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak yang dijangka siap pada penghujung tahun ini bagi mengenal pasti potensi pembangunan kawasan sempadan negeri sebagai pintu masuk strategik perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan serantau.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dapatan kajian itu akan diteliti secara menyeluruh bagi mengenal pasti projek bersesuaian untuk dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan, keperluan dan kesediaan pelaksanaan.
“Kajian ini dijangka akan siap pada penghujung tahun ini. Setelah selesai, hasil dan dapatan kajian akan diteliti secara menyeluruh bagi mengenal pasti projek-projek yang bersesuaian untuk dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keutamaan, keperluan serta kesediaan pelaksanaan projek, tertakluk kepada peruntukan dan kelulusan yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim menambah, kajian itu mengambil kira kepentingan strategik kawasan sempadan Sarawak susulan keputusan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan Timur, selain usaha memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pintu masuk logistik, rakan ekonomi dan penghubung strategik di Borneo serta rantau ASEAN.
Katanya, pelan induk itu turut merangkumi cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Sekuriti (ICQS) Biawak dan inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan dan peningkatan taraf sosioekonomi di kawasan Biawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, projek pembangunan sempadan Sarawak melibatkan pembinaan monumen di kawasan strategik sempadan negara, termasuk di Biawak, kini berada pada peringkat akhir persediaan dengan reka bentuk serta Surat Setuju Terima (SST) bagi kerja awalan dijangka dikeluarkan pada suku keempat 2026.
Ujarnya, projek bernilai RM3 juta yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu meliputi pos kawalan di Telok Melano, Ba’Kelalan, Tebedu, Biawak di Lundu serta Lubok Antu.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie