KUCHING: Kerajaan Sarawak mengeluarkan dua Lesen Karbon Hutan baharu kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) dan Shin Yang Sdn. Bhd. bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan serta pembangunan ekonomi hijau negeri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, pengeluaran lesen berkenaan merupakan hasil usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.
“Melalui Jabatan Hutan Sarawak, lesen telah diberikan kepada LAKIKR bagi kawasan seluas 4,788.2 hektar di Tanjung Manis, Kuala Rajang.
“Lesen kedua pula diberikan kepada Shin Yang Sdn. Bhd. yang melibatkan keluasan keseluruhan 26,353 hektar bagi Kawasan Karbon Hutan Jalin di Ulu Baram. Terdapat dua jenis hutan yang berbeza; satu terletak di kawasan delta, manakala satu lagi di kawasan pergunungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan lesen berkenaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Khamis.
Lesen itu diserahkan oleh Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad kepada Bendahari LAKIKR, Bajuri Jauji dan Pengarah Eksekutif Shin Yang Sdn. Bhd., Andy Wong Ko Hock.
Menurut Datuk Len, sehingga kini, sebanyak 11 entiti telah menerima kelulusan untuk menjalankan aktiviti karbon hutan di Sarawak, manakala tiga entiti telah diberikan Lesen Karbon Hutan meliputi keluasan keseluruhan 56,000 hektar.
Tambahnya, inisiatif itu turut menyokong Teras Strategik Keempat Belanjawan Sarawak 2027, iaitu melindungi dan mengekalkan kelestarian sumber asli, serta selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menjelas lanjut, beliau berkata, projek karbon hutan dapat menyokong pemuliharaan dan pemulihan hutan, melindungi biodiversiti, menarik pelaburan hijau serta mewujudkan peluang kepada masyarakat setempat.
Menurut Datuk Len lagi, pemberian lesen karbon hutan memberi kuasa kepada pemegang lesen untuk membangunkan dan melaksanakan projek yang telah diluluskan, tertakluk kepada keperluan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Sesebuah lesen tidak secara automatik melayakkan sesuatu projek untuk pengeluaran atau perdagangan kredit karbon.
“Projek tersebut mesti memenuhi keperluan piawaian karbon yang berkaitan, termasuk proses pengesahan dan verifikasi oleh badan pengesahan dan verifikasi yang diiktiraf, sebelum kredit karbon boleh dikeluarkan.
“Jabatan Hutan Sarawak akan terus memperkukuh tadbir urus karbon hutan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan teknikal, di samping memelihara kepentingan alam sekitar serta komuniti,” ujarnya.-EDISI UKAS