RM545 Juta Diperuntukkan Bagi JENDELA 2 Fasa 1, Manfaatkan Hampir 350 Lokasi Sarawak
KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 Fasa 1 di Sarawak, melibatkan enam kluster yang dijangka meningkatkan kualiti capaian internet di hampir 350 lokasi di seluruh negeri.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, surat setuju terima (SST) kepada syarikat yang akan melaksanakan projek berkenaan diserahkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Kita merancang untuk menyediakan kemudahan internet yang lebih baik di lebih hampir 350 lokasi di seluruh Sarawak. Selain itu, menerusi inisiatif bandar pintar, kita juga akan menyediakan infrastruktur gentian optik bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Projek ‘Kuching Smart City & Digital Connectivity’, di sini pada Khamis.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Selain JENDELA 2, Datuk Seri Fahmi berkata, Sarawak turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan Program Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang akan melibatkan sekurang-kurangnya tiga lokasi pendaratan kabel di negeri ini.
Menurutnya, Bintulu dikenal pasti sebagai antara lokasi utama bagi menyokong pembangunan Pelabuhan Bintulu dan kawasan sekitarnya, manakala lokasi pendaratan lain akan dimaklumkan kemudian.
“Perincian mengenai perkara itu akan dimaklumkan kemudian. Antara lokasi yang diberi keutamaan ialah Bintulu, Matu dan Buntal. Kita juga akan meneliti beberapa lokasi lain, dengan pelaksanaan usaha ini akan dilakukan menerusi kerjasama erat antara pihak berkaitan, insya-Allah,” ujarnya lagi.
Secara keseluruhan, SALAM akan melibatkan 10 lokasi pendaratan kabel dasar laut di seluruh negara, termasuk lima di Sabah dan selebihnya di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, rangkaian SALAM akan melengkapi kabel dasar laut sedia ada, sekali gus menyediakan kapasiti rangkaian tambahan bagi memperkukuh infrastruktur telekomunikasi negara.
Pelaksanaan projek itu dijangka bermula pada hujung tahun ini atau awal tahun depan, dengan tempoh penyiapan dianggarkan antara dua hingga tiga tahun. -EDISI UKAS