Klinik Kesihatan Bintangor Dirancang Dinaik Taraf Di Bawah RMK-14
BINTANGOR: Klinik Kesihatan Bintangor dirancang untuk dinaik taraf daripada klinik Jenis 4 kepada Jenis 3 di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14), termasuk penyediaan klinik pergigian dengan lima kerusi rawatan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee menjelaskan perancangan jangka panjang Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak itu akan meningkatkan kapasiti kemudahan kesihatan pergigian di kawasan berkenaan.
“Program jangkauan ini melengkapi perkhidmatan di Klinik Pergigian Bintangor dengan membawa rawatan pergigian asas dan pencegahan lebih dekat kepada komuniti, khususnya murid sekolah dan kumpulan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini.
Pada 2025, Klinik Pergigian Bintangor menerima purata 25 pesakit sehari dengan perkhidmatan merangkumi pemeriksaan, konsultasi, penskaleran, tampalan, cabutan gigi, gigi palsu dan rawatan salur akar.
Selain itu, perkhidmatan jangkauan turut merangkumi lawatan pergigian ke sekolah rendah dan menengah, pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Bintangor dan Julau serta lima klinik kesihatan di kawasan sekitar.-EDISI UKAS