Sarawak Energy Peruntuk RM73 Juta Naik Taraf Bekalan Elektrik Bahagian Betong
KUCHING: Sarawak Energy memperuntukkan RM73 juta bagi melaksanakan projek penambahbaikan infrastruktur bekalan elektrik di Bahagian Betong, termasuk konstituensi Kalaka.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Ibrahim Baki berkata, projek-projek berkenaan merangkumi pembinaan Pencawang Plassu 33/11kV dengan kos RM1.07 juta, naik taraf transformer di kawasan Kabong, Ulu Krian dan Nanga Assam dengan kos RM1.04 juta serta penambahbaikan talian atas di kawasan Nyabor, Sessang, Kabong dan Kampung Gerigat yang melibatkan kos RM1.13 juta.
"Pelaksanaan projek-projek ini akan memperkukuh sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong, termasuk kawasan DUN Kalaka, serta meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik bagi menampung peningkatan permintaan pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Tambahnya, beberapa projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong turut dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Antaranya termasuk pembinaan Pencawang Kabong/Roban 33/11kV, pembinaan talian 33kV jenis monopole dari Serudit ke Saratok serta pembinaan talian 33kV jenis Medium Voltage Covered Conductor (MVCC) dari Saratok ke Simpang Kabong dan dari Serudit ke Pusa.
Menurutnya, pelaksanaan projek-projek itu akan memperkukuh sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong, termasuk kawasan DUN Kalaka, bagi menampung peningkatan permintaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Datuk Ibrahim menjelaskan, talian MVCC yang menggunakan kabel berpenebat mempunyai kelebihan berbanding talian sedia ada yang tidak berpenebat.
Katanya, penggunaan talian tersebut dapat mengurangkan gangguan bekalan elektrik akibat cuaca buruk, sambaran kilat, haiwan dan sentuhan tumbuhan, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan kepada pengguna. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie