Projek SADV Capai Kemajuan 89 Peratus, Dijangka Siap Hujung Tahun Ini
KUCHING: Projek Sungai Asap Digital Village (SADV) yang melibatkan pemasangan jajaran gentian optik sepanjang 140 kilometer di Sungai Asap dan Apau Koyan kini mencapai kemajuan 89 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, projek yang dijangka dapat mengurangkan jurang digital serta memacu kemajuan sosioekonomi masyarakat setempat berkenaan menelan kos sebanyak RM36.18 juta.
“Projek SADV adalah projek dibiayai penuh oleh Kerajaan GPS Sarawak, walaupun telekomunikasi itu di bawah bidang persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Khamis.
Menurut Datuk Liwan, pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk daripada 16 komuniti utama, melibatkan 117 blok rumah panjang di sekitar Sungai Asap dan Apau Koyan.
Menjelas lanjut mengenai inisiatif SADV tersebut, beliau berkata, ia menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam pertanian pintar, mempermudah urusan e-perbankan,
menggalakkan aktiviti e-dagang dalam kalangan usahawan desa, serta meningkatkan kualiti pendidikan digital bagi pelajar sekolah.
Selain itu, ujarnya, projek tersebut memudahkan akses kepada perkhidmatan e-kerajaan serta merancakkan pelancongan dengan mempromosikan keunikan tradisi etnik Sarawak secara lebih meluas ke peringkat global.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie