11 Entiti Terlibat Aktiviti Karbon Hutan Di Sarawak, Tiga Diberi Lesen
KUCHING: Sebanyak 11 entiti terlibat dalam aktiviti karbon hutan di Sarawak, dengan tiga daripadanya telah diberikan Lesen Karbon Hutan melibatkan kawasan seluas 56,806 hektar.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, daripada tiga lesen berkenaan, satu sedang melalui proses validasi oleh badan validasi dan verifikasi (VVB) yang diiktiraf di bawah piawaian karbon antarabangsa, manakala dua lagi baru diluluskan.
“Di bawah Forests (Forest Carbon Activity) Rules, 2022, aktiviti perdagangan kredit karbon hanya boleh dilaksanakan selepas memperoleh Lesen Karbon Hutan (Carbon Licence),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Khamis.
Mengulas mengenai proses penjanaan kredit karbon selepas Lesen Karbon Hutan dikeluarkan, Datuk Len berkata, projek berkenaan perlu melalui proses validasi dan verifikasi berdasarkan piawaian karbon antarabangsa yang diiktiraf.
"Validasi melibatkan penilaian reka bentuk projek dan pematuhannya terhadap piawaian berkaitan, manakala verifikasi mengesahkan hasil pengurangan atau penyingkiran pelepasan karbon yang dicapai.
"Selepas memenuhi keperluan berkenaan, kredit karbon boleh dikeluarkan mengikut piawaian dan metodologi yang digunakan sebelum didaftarkan untuk tujuan perdagangan di pasaran karbon,"jelasnya lanjut.
Tambahnya, lapan entiti lagi telah diberikan Permit Kajian Karbon melibatkan kawasan seluas 179,327 hektar.
Menurut beliau, permit berkenaan membolehkan pemegangnya menjalankan kajian serta menyediakan Sarawak Project Design Document (SPDD) sebagai antara syarat untuk mendapatkan kelulusan Lesen Karbon Hutan.
Sementara itu, menjawab soalan ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad, Datuk Len memaklumkan satu Permit Kajian Karbon telah dikeluarkan bagi pelaksanaan Projek Karbon Biru, namun tidak melibatkan kawasan Paloh dan Serdeng.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada permohonan diterima bagi kawasan Daro.-EDISI UKAS