Pengangguran Graduan Sarawak Turun 27.3 Peratus Dalam Lima Tahun
KUCHING: Kadar pengangguran graduan di Sarawak menurun sebanyak 27.3 peratus dalam tempoh lima tahun, daripada 4.4 peratus pada 2020 kepada 3.2 peratus pada 2024, meskipun jumlah graduan yang dihasilkan universiti meningkat sebanyak 20.7 peratus dalam tempoh sama.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, trend itu menunjukkan usaha kerajaan negeri menangani pengangguran dalam kalangan graduan mula menunjukkan perkembangan positif.
“Ini bermaksud, kita sebenarnya dapat menurunkan pengangguran dalam kalangan graduan ini dengan langkah-langkah kerajaan yang dilancarkan termasuklah ‘Graduates Enhancement Training Sarawak – Work Readiness Programme’ (GETS-WRP) dan juga Talent Path.
“GETS-WRP ini pada tahun hadapan mendapatkan peruntukan yang begitu besar iaitu sebanyak RM22 juta yang akan memanfaatkan 1000 graduan kita dan tumpuannya adalah sektor-sektor penting seperti tenaga yang boleh diperbaharui, tenaga hidrogen dan juga tenaga hijau,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Khamis.
Menurutnya, kadar pengangguran graduan kekal pada 4.4 peratus pada 2020 dan 2021 sebelum menurun kepada empat peratus, kemudian 3.5 peratus dan seterusnya 3.2 peratus pada 2024.
Jelasnya, antara punca yang telah dikenalpasti ialah ketidakpadanan antara kelayakan akademik dengan keperluan industri, jangkaan graduan terhadap pekerjaan serta kekurangan pengalaman praktikal dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada pengangguran dalam kalangan siswazah di Sarawak.
Dedah beliau, terdapat graduan yang ditawarkan kursus bukan pilihan utama ketika memohon kemasukan ke universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU), sekali gus menimbulkan cabaran dari segi peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Antara faktor yang paling penting yang kita faham setakat ini ialah kebanyakan daripada graduan kita telah ditawarkan kursus-kursus yang tidak ‘marketable’ apabila mereka memohon UPU,” katanya lagi.
Selain itu katanya, faktor lain termasuk kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pendedahan industri yang tidak mencukupi serta kelemahan dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran secara praktikal. -EDISI UKAS