Universiti Teknologi Swinburne Sarawak Catat Kebolehpasaran Graduan 98.9 Peratus
KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Sarawak mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan tertinggi dalam kalangan empat universiti milik kerajaan Sarawak, iaitu 98.9 peratus, diikuti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sebanyak 92.1 peratus.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Universiti Curtin Malaysia di Miri merekodkan kadar kebolehpasaran 85.4 peratus, manakala Kolej Universiti i-CATS mencatatkan 83.4 peratus.
“Jadi kadar ini amat besar dan Insya-Allah ia akan dapat mengurangkan dari segi pengangguran graduan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebolehpasaran graduan perlu terus diperkukuh melalui penyelarasan program pengajian dengan keperluan semasa industri bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan.
Antara pendekatan kerajaan negeri ialah memberi tumpuan kepada kursus yang memenuhi keperluan tenaga kerja, selain menyediakan program latihan bagi meningkatkan kesediaan graduan menghadapi alam pekerjaan. -EDISI UKAS