MTCP Selia 33 Projek Pembangunan Bernilai RM486.39 Juta
KUCHING: Sebanyak 33 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM486.39 juta sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, daripada jumlah itu, 21 projek bernilai RM408.382 juta dibiayai Kerajaan Sarawak, manakala satu Projek Rakyat melibatkan peruntukan RM52 juta.
“Selain itu, sebanyak 11 projek lagi dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan nilai RM26.01 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Khamis.
Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) serta pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Datuk Sebastian menjelaskan setiap cadangan projek infrastruktur pelancongan perlu melalui penilaian Value at Entry (VAE) bagi memastikan daya maju, kesediaan pelaksanaan dan keselarasan dengan hala tuju pembangunan negeri sebelum dipertimbangkan untuk pembiayaan.
Katanya, penilaian itu merangkumi empat dokumen utama, iaitu latar belakang projek, Indeks Kreativiti dan Matriks Rangka Kerja Logik, Pengkategorian Pemerolehan serta senarai semak Gerbang Nilai 0.
“Dokumen pertama ialah latar belakang projek yang memperincikan skop, tempoh pelaksanaan, kos, lokasi dan justifikasi, termasuk keselarasan dengan strategi kerajaan seperti Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS2030) dan Pelan Induk Pelancongan Sarawak 2035 (STMP2035),” jelasnya.
Tambah beliau, penilaian berkenaan turut mengambil kira hasil dan manfaat projek, tahap kerumitan teknikal, kesediaan industri serta implikasi berkaitan tanah.
Selain itu, kementerian turut mewajibkan sesi libat urus antara agensi termasuk Pejabat Residen, penyedia utiliti dan agensi pelanggan bagi memastikan setiap cadangan projek mengambil kira pandangan pihak berkepentingan serta keperluan kos pelaksanaan.-EDISI UKAS