Sarawak Mohon Dua PUSPEN Baharu Di Zon Tengah, Utara Negeri
KUCHING: Sarawak memohon pembinaan dua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperluas kapasiti rawatan dan pemulihan penagih dadah, susulan 8,965 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah direkodkan di negeri ini setakat September 2026.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, cadangan itu mengambil kira keperluan memperluas kemudahan pemulihan memandangkan Sarawak ketika ini hanya mempunyai sebuah PUSPEN dengan kapasiti 300 klien pada satu-satu masa.
“Jumlah ini dibandingkan dengan jumlah tangkapan melibatkan penyalahgunaan dadah di Sarawak setakat September 2026 iaitu seramai 8,965 tangkapan, jadi disebabkan itu kita mencadangkan PUSPEN baru harus dibina di Zon Tengah atau Utara Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Khamis.
Menyentuh mengenai jumlah klien yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan di bawah seliaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Mukah, beliau mendedahkan setakat 30 September 2026, seramai 103 klien ditempatkan bagi menjalani rawatan dan pemulihan. -EDISI UKAS