Bawang Assan Bakal Diperkasa Sebagai Kawasan Pengeluaran Makanan Utama
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus meneliti potensi Bawang Assan untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran makanan utama bagi Sibu dan wilayah tengah Sarawak, khususnya dalam pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan serta tanaman lain yang bersesuaian.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, kementeriannya mengiktiraf sumbangan petani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan yang telah menghasilkan bekalan makanan dalam jumlah besar bagi memenuhi permintaan tempatan.
Menurut beliau, kementeriannya akan meneruskan usaha menilai dan mengenal pasti tanah yang sesuai serta kawasan yang berpotensi untuk pengeluaran makanan secara komersial.
“Bagi membangunkan Bawang Assan sebagai kawasan pengeluaran makanan utama, kementerian saya akan terus menilai dan mengenal pasti tanah yang sesuai serta kawasan yang berpotensi untuk pengeluaran makanan secara komersial.
“Ini termasuk pembangunan projek pertanian berskala besar dan berdaya maju secara komersial, yang disokong oleh infrastruktur, teknologi, pembiayaan dan jaringan pemasaran yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Khamis.
Tambah Datuk Martin, program dan projek yang dicadangkan itu akan dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta melalui Zon Ekonomi Sibu (SEZ).
Cadangan berkenaan katanya lagi, dijangka menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh pengeluaran makanan tempatan melalui pembangunan pertanian komersial yang disokong oleh kemudahan dan jaringan pemasaran yang bersesuaian.
Dato Sri Wong dalam soalannya meminta penjelasan sama ada kerajaan Sarawak akan mengambil langkah konkrit untuk membangunkan Bawang Assan sebagai kawasan pengeluaran makanan utama bagi Sibu dan wilayah tengah Sarawak, khususnya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import dan menyumbang kepada sekuriti makanan negeri.-EDISI UKAS