557 Lampu LED Solar Bakal Dipasang Dari Simpang Pan Borneo Ke Pekan Kabong
KUCHING: Sebanyak 557 unit lampu LED solar dikenal pasti untuk dipasang di sepanjang laluan dari Simpang Pan Borneo ke Pekan Kabong, melibatkan jarak kira-kira 37.7 kilometer dengan anggaran kos RM3.62 juta.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut mengenal pasti kawasan yang memerlukan pemasangan lampu LED solar, khususnya di selekoh tajam, persimpangan, jambatan dan kawasan kampung.
"Selain pemasangan lampu LED solar, JKR Sarawak turut mengambil langkah strategik seperti pemasangan lampu amaran berkelip, 'road stud', papan tanda dan garisan jalan di sepanjang jalan berkenaan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Tambahnya, sebanyak 700 unit lampu LED solar telah dipasang oleh Majlis Daerah Saratok melalui peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) pada tahun lalu, melibatkan laluan dari Simpang Roban hingga ke Pasar Kabong.
Menurut Datuk Ir Aidel, pemasangan lampu jalan tambahan itu bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam serta memberikan keselesaan kepada penduduk setempat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie