CAAM Selesai Audit Keselamatan Operator Helikopter Susulan Nahas Long Lellang
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menyelesaikan audit keselamatan komprehensif terhadap operator helikopter susulan nahas di Long Lellang, Ulu Baram baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan berkata, audit berkenaan merangkumi aspek kebolehterbangan pesawat, standard penyelenggaraan, kelayakan jurutera serta pematuhan operator terhadap kriteria keselamatan penerbangan.
Ia dijelaskannya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu di Dewan Rakyat berhubung pelaksanaan audit keselamatan, pemeriksaan berkala serta status penemuan audit yang belum diselesaikan sebelum insiden berkenaan berlaku.
Dalam soalan tambahannya, Dato Dr. Richard menegaskan kepentingan memastikan keselamatan penerbangan tidak dikompromi, khususnya bagi perkhidmatan udara yang menjadi penghubung utama penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai langkah konkrit kementerian dan CAAM untuk memastikan semua penemuan audit diselesaikan sepenuhnya serta setiap aset udara berada pada tahap kebolehterbangan yang selamat sebelum dibenarkan beroperasi semula.
Menjawab perkara itu, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa CAAM akan terus memantau pematuhan setiap operator terhadap peraturan dan piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan.
Sebarang penemuan audit yang belum ditutup perlu dipantau dan diselesaikan mengikut piawaian berkenaan sebelum kelulusan atau kebenaran operasi berkaitan disambung, demi memastikan keselamatan penumpang serta petugas penerbangan sentiasa terpelihara.
Kementerian turut menekankan kepentingan pematuhan ketat terhadap prosedur penyelenggaraan dan keselamatan penerbangan, terutama bagi perkhidmatan udara ke kawasan pedalaman Sarawak yang bergantung pada hubungan udara untuk mendapatkan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan penting.-EDISI UKAS