Perkukuh Infrastruktur, Lonjak Tebedu Sebagai Gerbang Ekonomi Sempadan
KUCHING: Tebedu berpotensi muncul sebagai gerbang ekonomi utama di sempadan Sarawak-Kalimantan menerusi pengukuhan perdagangan rentas sempadan, kemudahan logistik, pelancongan serta pembangunan perniagaan tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, kedudukan strategik kawasan itu yang bersempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia membuka peluang untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi serantau.
Menurutnya, perkembangan ekonomi di Kalimantan, termasuk pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, turut membuka ruang kepada Tebedu untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi rentas sempadan.
“Peluang ini termasuk perdagangan rentas sempadan, logistik, pelancongan, perniagaan kecil dan pemasaran hasil pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Dr Simon menegaskan bahawa kedudukan strategik semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan infrastruktur dan kemudahan perdagangan yang lengkap.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar penyediaan infrastruktur perdagangan, kecekapan sistem pengurusan sempadan, kemudahan logistik serta dasar yang menyokong penyertaan usahawan tempatan diberikan perhatian.
Katanya, pembangunan ekonomi sempadan juga perlu memastikan penduduk setempat mendapat manfaat secara langsung, khususnya melalui pewujudan peluang pekerjaan, pengembangan perniagaan dan akses pasaran lebih luas bagi hasil pertanian.
“Pembangunan ini boleh membuka peluang pekerjaan, meningkatkan aktiviti perniagaan dan mewujudkan pasaran baharu bagi hasil pertanian tempatan.
“Tebedu tidak seharusnya menjadi sekadar laluan perdagangan, tetapi mesti berkembang sebagai pusat yang menjana peluang ekonomi dan kemakmuran kepada penduduknya,” tegasnya.-EDISI UKAS