254 Projek RTP Perkukuh Pembangunan Luar Bandar Machan
KUCHING: Sebanyak 254 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) direkodkan di kawasan Machan sepanjang 2021 hingga 2026, manakala 526 kediaman berjaya dibaik pulih menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dalam tempoh sama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, berkata pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, sebanyak 526 kediaman PPRMS telah selesai menjalani kerja-kerja baik pulih sejak 2021 hingga 2026, manakala lebih 30 kediaman lagi masih dalam proses pelaksanaan di bawah Fasa 2 Tahun 2026.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam aspek perhubungan luar bandar, beliau menggesa agar perancangan awal dibuat bagi meneruskan Projek Jalan Menalun–Sungai Poi ke Fasa 4 selepas Fasa 3 yang menghubungkan Rumah Keleman, Rumah Nyaru dan Rumah Jelani dijadualkan siap pada 2027.
“Saya berharap agar pembinaan jalan ini tidak terhenti setakat Fasa 3 sahaja. Saya ingin memohon agar kerajaan dan agensi berkaitan membuat perancangan awal untuk meneruskan Fasa 4 supaya penduduk di Ulu Poi akan menikmati jalan raya dengan secepatnya,” katanya.
Allan Siden turut berharap pembinaan jalan dari Nanga Jerangku ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Machan dapat diteruskan hingga ke rumah-rumah panjang yang masih belum mempunyai akses jalan darat.
Sementara itu jelasnya, pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Kanowit dijangka memberi manfaat kepada 754 isi rumah, melibatkan 43 kampung dan rumah panjang serta tiga sekolah di Majau, Batu Luking, Mam dan Poi.
Dalam usaha memperluas akses elektrik luar bandar, beliau berkata, projek RES Last Miles Fasa 2 di Machan, Kanowit dan Sibu yang siap pada 2025 memberi manfaat kepada 17 rumah panjang, manakala Fasa 3 di Poi dan Ulu Poi turut siap pada tahun sama, melibatkan 15 rumah panjang. -EDISI UKAS