Kerajaan Kekal Perkasa Undang-Undang Sedia Ada, Belum Perlu Akta Baharu Tangani Isu 3R
KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang menggubal Akta Perpaduan Negara khusus bagi menangani isu sensitif berkaitan Raja-Raja, agama dan kaum (3R), sebaliknya akan terus memperkasa penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang, kerangka perundangan sedia ada di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian dan agensi masih mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R, termasuk dalam persekitaran media sosial.
Perkara itu dijelaskan bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin semasa Persidangan Dewan Rakyat yang membangkitkan keperluan memperkukuh langkah menangani isu perpaduan, khususnya dalam kalangan generasi muda dan institusi pendidikan.
Dalam soalan tambahannya, Willie menzahirkan kebimbangan terhadap laporan mengenai sikap segelintir murid yang enggan bergaul dengan rakan berlainan agama, sekali gus menekankan kepentingan memupuk toleransi dan persefahaman sejak di bangku sekolah.
Beliau turut meminta kementerian memperincikan langkah memperkukuh literasi digital, pemikiran kritis dan semangat toleransi bagi membendung penularan sentimen perkauman serta keagamaan dalam kalangan golongan muda.
Menjawab persoalan itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menjelaskan bahawa pendekatan menyeluruh merentas kementerian dan agensi kerajaan terus dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri.
Antara peruntukan undang-undang sedia ada yang digunakan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selain penguatkuasaan, KPN turut mempergiat usaha membina keharmonian masyarakat menerusi program pendidikan dan intervensi sosial, termasuk memperkukuh literasi digital beretika melalui pusat berkaitan, memperluas rangkaian mediator komuniti serta melaksanakan program integrasi nasional.
Antara program yang dilaksanakan ialah Kembara Perpaduan Malaysia, Jelajah Perpaduan Rukun Negara dan Wacana Perpaduan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keharmonian serta saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
Kerajaan komited memastikan usaha memelihara perpaduan negara dilaksanakan secara berterusan melalui penguatkuasaan undang-undang dan pendekatan pendidikan bagi membina sikap toleransi serta persefahaman sejak peringkat awal.-EDISI UKAS