Betong Gesa Autonomi Penuh Projek Persekutuan, Tuntut Keadilan Fiskal Sarawak
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa memberikan autonomi penuh kepada agensi teknikal tempatan di Sarawak dalam pelaksanaan projek pembangunan, selain memastikan pengagihan hasil negara dilaksanakan secara adil dan memenuhi keperluan rakyat di kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, keberkesanan Belanjawan 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira peningkatan taraf hidup rakyat, peluang pekerjaan serta penyediaan kemudahan asas yang mencukupi.
Menurut beliau, kekangan birokrasi dalam pelaksanaan projek Persekutuan perlu ditangani menerusi penambahbaikan Arahan Perbendaharaan (PB 1.B) bagi membolehkan agensi teknikal tempatan melaksanakan projek tanpa had nilai siling RM50 juta.
Semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan bahawa pembangunan negara perlu memberikan manfaat yang nyata kepada masyarakat, khususnya penduduk luar bandar di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik peningkatan bayaran interim Geran Khas Sarawak kepada RM600 juta di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, namun menegaskan keperluan memuktamadkan formula pembayaran yang tetap dan adil selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Geran khas ini bukan soal ehsan Kerajaan Persekutuan, tetapi soal hak Perlembagaan dan keadilan fiskal yang perlu ditangani berdasarkan Perkara 112D serta semangat MA63,” katanya.
Dalam sektor kesihatan, Dato Dr. Richard turut mendesak kerajaan mengekalkan skop asal Projek Klinik Kesihatan Jenis 3 dan Kuarters Betong bernilai RM100 juta, termasuk pembinaan kesemua 18 unit kuarters untuk petugas kesihatan bagi memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan di kawasan itu dapat dipertingkatkan.
Beliau turut menegaskan bahawa pengurangan skop projek tidak seharusnya menjadi penyelesaian utama terhadap peningkatan kos kerana kemudahan kediaman yang mencukupi penting untuk menarik dan mengekalkan petugas kesihatan di kawasan luar bandar.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan pembinaan kolej teknikal konvensional baharu di Betong, penyediaan mesin cetak kad pengenalan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Betong serta penubuhan stesen pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bahagian berkenaan.
Beliau menegaskan pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan sebenar penduduk, kecukupan tenaga kerja serta keberkesanan pelaksanaan projek demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat.-EDISI UKAS