Poliklinik Baharu Di Bukit Mabong Digesakan, Perluas Akses Kesihatan Pedalaman
KUCHING: Pembinaan sebuah poliklinik baharu di Tunoh, pusat pentadbiran Daerah Bukit Mabong, perlu diberi pertimbangan serius bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pedalaman khususnya di kawasan Baleh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, kemudahan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap fasiliti kesihatan sedia ada di Kapit, selain memastikan mereka mendapat rawatan dengan lebih cepat dan mudah.
Menurutnya, penduduk pedalaman ketika ini terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan, sekali gus menanggung kos pengangkutan, penginapan serta kehilangan pendapatan akibat perlu mengambil cuti bekerja.
“Dengan adanya kemudahan yang lebih hampir, sebahagian penduduk boleh mendapatkan rawatan awal tanpa perlu menunggu lama untuk menerima rawatan di poliklinik di Jalan Bleteh yang sentiasa penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nicholas berkata, poliklinik yang dicadangkan itu berpotensi menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan asas termasuk rawatan pesakit luar, pemeriksaan kesihatan berkala, penjagaan ibu dan anak serta pemantauan penyakit kronik mengikut keperluan masyarakat setempat.
Katanya, penyediaan kemudahan berkenaan juga mampu mengurangkan kesesakan di poliklinik Jalan Bleteh, Kapit, di samping meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan perkhidmatan kecemasan dan sistem rujukan ke hospital menerusi penyediaan ambulans, tenaga perubatan mencukupi serta sistem komunikasi yang berkesan.-EDISI UKAS