Inovasi, Teknologi dan Pembangunan Bakat Teras Agenda Sarawak Menjelang 2030
KOTA SAMARAHAN: Inovasi, teknologi, penyelidikan dan pembangunan bakat terus menjadi teras agenda pembangunan Sarawak menjelang 2030 bagi membina ekonomi berdaya saing, menarik pelaburan strategik serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bertaraf dunia.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, kerajaan Sarawak memberi penekanan terhadap pembangunan berasaskan pengetahuan dan teknologi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Menurutnya, agenda pembangunan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut merangkumi usaha memperluas peluang kepada rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan pembangunan mampan untuk generasi akan datang.
“Kerajaan Sarawak meletakkan pendidikan, inovasi, penyelidikan, teknologi dan pembangunan bakat sebagai teras agenda pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata, Sarawak berhasrat menjadi negeri yang bukan sahaja dikenali kerana kekayaan sumber alam dan kepelbagaian budaya, malah berkeupayaan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, bioteknologi, pembuatan termaju, keselamatan makanan dan pembangunan mampan.
Katanya, aspirasi itu disokong oleh pelbagai institusi strategik, termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills dan Invest Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa universiti seperti UNIMAS memainkan peranan penting sebagai pusat penghasilan ilmu, penyelidikan dan pembangunan bakat, selain menjadi rakan strategik industri dalam menghasilkan penyelesaian yang memenuhi keperluan masyarakat.
Beliau turut menyifatkan penganjuran Borneo InTEX SE 2026 bersama Festival of Ideas @ Sarawak 2026 sebagai platform yang saling melengkapi dalam mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi, selain membuka ruang perbincangan serta pertukaran pandangan bagi mencetuskan penyelesaian baharu.
Mengulas tema Borneo InTEX SE 2026, iaitu “Connecting Research, Innovation and Industry for Impact”, beliau berkata hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat.
Katanya, penyelidikan yang berjaya dikembangkan menjadi teknologi dan produk komersial berupaya membuka peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan produktiviti serta mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu.
Beliau berharap kerjasama antara penyelidik, inovator, usahawan, pelabur dan pemain industri dapat terus diperkukuh bagi memastikan Sarawak berkembang sebagai pusat pendidikan, inovasi, pembangunan bakat dan teknologi yang disegani di peringkat global.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Profesor Ir. Dr Siti Noor Linda Taib.-EDISI UKAS