Borneo InTEX SE 2026 Pacu Pengkomersialan Inovasi Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 158 penyertaan dipamerkan menerusi Ekspo Teknologi Antarabangsa Borneo Edisi Khas (Borneo InTEX SE) 2026, sekali gus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi Sarawak serta membuka peluang pengkomersialan hasil penyelidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, inovasi merupakan keperluan strategik bagi memperkukuh daya saing dan ketahanan jangka panjang Sarawak.
Menurutnya, menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Kerajaan Sarawak terus menjadikan pendidikan, penyelidikan, teknologi, inovasi dan pembangunan bakat sebagai teras agenda pembangunan negeri.
Majlis penutup ekspo berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Ekspo yang dianjurkan sempena Festival Gagasan (FOI)@Sarawak 2026 di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu membawa tema “Menghubungkan Penyelidikan, Inovasi dan Industri untuk Impak”.
Dalam pada itu, beliau menambah, hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal, produk dan perkhidmatan yang bersedia memasuki pasaran bagi menarik pelaburan, menjana peluang pekerjaan serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Daripada keseluruhan 158 penyertaan, sebanyak 60 dipilih untuk pembentangan poster secara bersemuka bagi membolehkan peserta mengetengahkan inovasi masing-masing kepada panel penilai dan pemegang taruh industri.
Pertandingan ekspo tahun ini turut dilaksanakan secara dalam talian bagi memperluas peluang penyertaan, dengan sebanyak 30 penyertaan menerima pengiktirafan Pingat Emas.
Pengiktirafan itu mencerminkan potensi hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh dibangunkan lebih lanjut, diguna pakai oleh industri serta dikomersialkan.
Selain pertandingan, Borneo InTEX SE 2026 turut menampilkan ucaptama bertajuk “Borneo Rising: Aviation, Innovation and the Future of Connectivity” yang disampaikan oleh Azman Ahmad dari Air Borneo Airways Sdn Bhd.
Program itu turut menampilkan enam sesi Bicara Tekno (Tech Talks) yang membincangkan perkembangan teknologi, inovasi dan aplikasi dunia sebenar, dengan penglibatan wakil industri, pakar serta tokoh dalam bidang berkaitan.
Antara acara lain yang berlangsung ialah Cabaran Inovasi Pitch2Comm, pameran buku, penyampaian geran dan pengiktirafan, selain pertukaran memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) serta perjanjian melibatkan syarikat terbitan UNIMAS.
Pertukaran perjanjian membabitkan UNIMAS bersama dua syarikat terbitannya, Enerly Sdn Bhd dan Boye Tech Sdn Bhd, turut menyerlahkan usaha menghubungkan hasil penyelidikan universiti dengan peluang keusahawanan dan pengkomersialan.
Penganjuran Borneo InTEX SE 2026 diharap dapat memperkukuh kerjasama antara institusi penyelidikan, universiti dan industri dalam memastikan hasil inovasi dapat dimanfaatkan secara meluas, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak sebagai pusat pendidikan, teknologi dan inovasi yang berdaya saing serta mampan.-EDISI UKAS