SEB Digesa Percepat Bekalan Elektrik Ke Pedalaman Song
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) digesa mempercepatkan penyambungan bekalan elektrik ke kawasan Temalat dan rumah panjang yang masih belum menerima kemudahan itu di daerah Song.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, usaha memperluas akses elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman perlu dipergiat bagi memastikan penduduk menikmati bekalan tenaga yang boleh dipercayai.
Menurutnya, pelaksanaan Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) telah membolehkan enam rumah panjang di Sungai Tekalit dan empat lagi di Sungai Iran, Song, menikmati kemudahan elektrik menerusi projek bernilai RM13.1 juta.
“Saya berharap SEB dapat memperkenalkan model perniagaan baharu bagi mempercepatkan proses penyambungan bekalan elektrik ke kawasan yang masih belum mendapat kemudahan berkenaan.
“Semakin cepat sambungan dibuat, semakin cepat hasil dapat dikutip,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa SEB perlu mengambil kira nilai sosial dan tanggungjawab korporat dalam menyediakan bekalan elektrik yang stabil kepada masyarakat luar bandar.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini