Rakyat Sarawak Diingatkan Waspada Tawaran Percutian, Elak Jadi Keldai Dadah
KUCHING: Rakyat Sarawak khususnya golongan belia digesa supaya lebih berwaspada terhadap tawaran percutian ke luar negara yang mencurigakan bagi mengelakkan diri daripada diperdaya menjadi keldai dadah oleh sindiket penyeludupan antarabangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, orang ramai tidak seharusnya mudah terpedaya dengan pelawaan melancong secara percuma atau tawaran bayaran lumayan untuk membawa barangan milik individu lain ke luar negara.
Menurut beliau, kejadian itu amat membimbangkan kerana melibatkan wanita serta individu dari Sarawak yang dilaporkan tidak mempunyai rekod jenayah dan dikatakan berkunjung ke Jepun untuk tujuan melancong.
“Orang ramai perlu berwaspada dengan pelawaan untuk bercuti atau melancong ke luar negara, khususnya apabila diminta membawa barangan milik orang lain agar tidak menjadi mangsa sebagai keldai dadah.
“Jangan mudah percaya dengan janji bayaran lumayan tanpa risiko bagi membawa bahan terlarang seperti dadah ke luar negara,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.
Gesaan itu dibuat susulan penahanan lima rakyat Malaysia di Jepun pada 10 Oktober lalu kerana disyaki cuba menyeludup lima kilogram dadah jenis kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut.
Dato Sri Fatimah yang juga Pengerusi One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substan (MIDS) Peringkat Negeri Sarawak berkata, berdasarkan maklumat kes berkenaan, seorang daripada individu yang ditahan dilaporkan mengaku menerima tawaran upah untuk membawa dadah ke luar negara.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa dan ahli keluarga supaya sentiasa mengambil tahu serta memantau pergerakan anggota keluarga, khususnya mereka yang menerima tajaan percutian daripada pihak tidak dikenali.
Katanya, langkah pencegahan awal amat penting bagi memastikan lebih ramai individu, terutama golongan muda, tidak terjerumus dalam kegiatan penyeludupan dadah tanpa menyedari risiko dan implikasi undang-undang yang bakal dihadapi.-EDISI UKAS