Latihan, Bimbingan & Akses Pembiayaan Perkukuh Daya Saing Usahawan Belia
KUCHING: Sokongan berterusan menerusi latihan, bimbingan, akses pembiayaan dan peluang pasaran menjadi antara langkah penting dalam memperkukuh keupayaan usahawan belia Sarawak untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, pendekatan itu penting bagi membantu golongan berkenaan membina asas perniagaan yang lebih kukuh, khususnya dalam aspek perancangan, pengurusan kewangan dan pengembangan pasaran.
“Faktor-faktor ini biasanya saling berkait. Oleh itu, sokongan berterusan melalui latihan, bimbingan, akses pembiayaan dan peluang pasaran penting untuk membantu usahawan belia mengatasi cabaran tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, antara cabaran utama yang dihadapi usahawan belia ialah kelemahan dalam perancangan perniagaan, pengurusan kewangan dan aliran tunai, selain kekurangan pengalaman serta kemahiran untuk mengembangkan perusahaan.
Katanya, kesukaran mendapatkan pembiayaan, menembusi pasaran dan membina jaringan perniagaan turut menjadi antara kekangan yang perlu ditangani bagi memastikan perniagaan golongan berkenaan terus berdaya maju.
Dalam masa sama, Datuk Dr Ripin menjelaskan bahawa penguasaan teknologi dan pemasaran digital perlu dipertingkatkan bagi membolehkan usahawan belia memanfaatkan peluang ekonomi baharu serta menyesuaikan perniagaan dengan perkembangan pasaran.
“Dalam pada itu, belia tidak konsisten membuat susulan dan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan permintaan pasaran,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan sokongan berterusan dan peningkatan kemahiran keusahawanan bagi membantu usahawan belia mengatasi cabaran, memperkukuh pengurusan perniagaan serta membina perusahaan yang lebih mampan dan berdaya saing.-EDISI UKAS