Lebih 6,000 Penduduk SPS RASCOM Ngemah Masih Menanti Hak Milik Tanah
KUCHING: Lebih 6,000 penduduk di tiga Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah masih menantikan surat hak milik tanah bagi tapak rumah panjang mereka selepas lebih 50 tahun menetap di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata isu tersebut melibatkan lebih 60 rumah panjang di SPS Nanga Jagau, SPS Nanga Ngungun dan SPS Nanga Tada yang sehingga kini masih berstatus tanah kerajaan.
Menurutnya, ketiga-tiga penempatan itu diwujudkan pada 1972 bagi menempatkan semula penduduk susulan ancaman komunis ketika itu.
“Penduduk di tiga buah SPS tersebut yang terdiri daripada lebih 60 buah rumah panjang dengan lebih 6,000 orang penduduk mahukan agar Kerajaan Sarawak dapat memberikan surat hak milik bagi tapak rumah panjang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Ujarnya, penyelesaian isu pemilikan tanah berkenaan wajar diberi perhatian segera memandangkan penempatan tersebut kini telah didiami sehingga generasi ketiga.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan pemberian surat hak milik tanah kepada penduduk terlibat bagi memastikan status pemilikan tapak kediaman mereka dapat diselesaikan.-EDISI UKAS