RM10 Juta Diperuntuk Tingkat Prestasi Akademik Murid Sekolah Mubaligh
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM10 juta bagi melaksanakan program peningkatan prestasi akademik murid sekolah mubaligh di seluruh negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program itu dirangka bagi membantu murid meningkatkan penguasaan akademik, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), bahasa Inggeris serta kemahiran asas membaca dan mengira.
“Program itu akan melibatkan perkara berkaitan STEM dan sudah tentu mereka diharap dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan matematik, selain kemahiran membaca serta mengira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek bantuan kepada sekolah mubaligh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Menjelas lanjut, ujarnya, usaha berkenaan adalah bagi memastikan murid sekolah mubaligh berpeluang menikmati manfaat inisiatif pendidikan percuma yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Menurut Datuk Amar Douglas, peruntukan tersebut akan diagihkan kemudian dan pengagihan akan ditentukan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan bagi memastikan pembahagian dibuat secara adil kepada setiap sekolah atau denominasi.-EDISI UKAS