Usahawan Belia Sarawak Boleh Mohon Geran SYStartUP Sehingga RM15,000
KUCHING: Usahawan belia di Sarawak boleh memohon bantuan geran permulaan perniagaan sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP, selain mengakses kemudahan pinjaman mudah berjumlah RM25 juta yang diusahakan kementerian dengan Affin Bank.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, sokongan itu merupakan antara langkah kerajaan membantu belia memulakan perniagaan, selain menyediakan latihan keusahawanan dan bimbingan teknikal.
“Bantuan geran berkenaan tertakluk kepada syarat kelayakan serta kelulusan permohonan, dengan tujuan menyokong keperluan permulaan dan pembangunan perniagaan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Jumaat.
Selain bantuan kewangan, beliau memberitahu Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) turut menyediakan bimbingan berkaitan pendaftaran dan pelesenan perniagaan, pengurusan kewangan serta penyediaan rancangan perniagaan.
“Pemantauan susulan turut membantu mengenal pasti cabaran yang dihadapi supaya mereka mendapat khidmat nasihat dan rujukan yang bersesuaian,” ujarnya lagi.
Dalam aspek pengembangan perniagaan, Datuk Dr Ripin menjelaskan, sokongan yang diberikan turut merangkumi pemasaran dan pembinaan jaringan perniagaan bagi membantu usahawan belia mendapatkan akses pasaran serta memperluas peluang pertumbuhan.
Pendekatan itu katanya, bertujuan memastikan sokongan kepada usahawan belia tidak terhad kepada modal permulaan, malah merangkumi bimbingan dan akses kepada peluang perniagaan bagi membantu mereka membina perniagaan yang mampan. -EDISI UKAS