Penentuan Hak Milik NCR Penting Elak Pertikaian Tanah Keagamaan
KUCHING: Penentuan hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan tanah yang diwakafkan atau disumbangkan kepada badan keagamaan didaftarkan secara sah di bawah Seksyen 171A Kanun Tanah Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, pindaan Kanun Tanah (Pindaan) 2025 memperkenalkan peruntukan baharu bagi memudahkan pendaftaran wakaf atau endowmen tanah kepada badan keagamaan di Sarawak.
“Penentuan hak milik hak NCR di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pendaftaran di bawah peruntukan baharu Seksyen 171A Kanun Tanah Sarawak dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Jumaat.
Menurutnya, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sedang bekerjasama rapat dengan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membangunkan prosedur menyeluruh untuk memudahkan urusan pendaftaran endowmen tanah melibatkan pelbagai badan keagamaan.
Jelas beliau, penentuan hak milik tanah NCR di bawah Seksyen 18 penting bagi memastikan dokumen hak milik didaftarkan terlebih dahulu sebelum proses pendaftaran endowmen dapat dilaksanakan.
Katanya, pelaksanaan Seksyen 171A menyediakan mekanisme perundangan yang lebih jelas dan teratur bagi memudahkan pendaftaran tanah kepada badan keagamaan, sekali gus mengurangkan risiko pertikaian hak milik pada masa hadapan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Marisa
Foto: Ibanez Jeffery Guang