Tandang Sari Berselawat Semarakkan Penghayatan Kerohanian Sempena RTS 2026
PUSA: Program Tandang Sari Berselawat mendapat sambutan penduduk setempat apabila menghimpunkan masyarakat bagi menghayati pengisian keagamaan dan kerohanian sempena Regata Tandang Sari (RTS) 2026 di Dataran Tandang Sari, di sini, pada Khamis.
Program berkenaan diisi dengan aktiviti berselawat serta ceramah agama bagi meningkatkan penghayatan Islam, menambah ilmu pengetahuan dan mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang berkata, program keagamaan seumpama itu wajar diteruskan kerana dapat memperkukuh keimanan serta menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap Nabi Muhammad SAW.
“Saya harap program seumpama inj dapat terus menjadi wadah untuk menyatupadukan masyarakat, memupuk semangat kebersamaan dan mengukuhkan hubungan silaturahim tanpa mengira latar belakang,” katanya semasa berucap.
Hamdan menambah, penganjuran program berkenaan turut menyediakan ruang kepada masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk bersama-sama menimba ilmu, menghayati ajaran Islam dan memupuk semangat kebersamaan.
Ceramah agama pada program itu disampaikan oleh penceramah bebas, PU Amin Dris, yang menekankan kepentingan ilmu dalam kehidupan serta mengajak masyarakat supaya sentiasa bermuhasabah diri dan memperbaiki amalan masing-masing.
Tandang Sari Berselawat merupakan antara pengisian kerohanian yang dianjurkan sepanjang RTS 2026, sekali gus melengkapkan pelbagai aktiviti yang disediakan untuk masyarakat setempat.-EDISI UKAS