Koperasi Digalak Teroka Peluang Perniagaan Baharu Berasaskan Keperluan Komuniti
BINTULU: Koperasi digalak lebih proaktif mengenal pasti keperluan masyarakat setempat sebagai asas meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi menjana pendapatan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan anggota dan komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Zaib Mat Yunus berkata, perubahan corak pekerjaan, mobiliti penduduk dan gaya hidup masyarakat membuka ruang kepada koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi serta menawarkan perkhidmatan yang relevan dengan keperluan semasa.
Menurutnya, peluang perniagaan tidak semestinya tertumpu kepada sektor baharu, sebaliknya boleh diwujudkan dengan mengenal pasti keperluan masyarakat yang masih belum dipenuhi.
“Apabila masyarakat berubah, keperluan turut berubah.
“Apabila muncul keperluan yang belum dipenuhi, di situlah bermulanya sebuah peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Bicara Ilmu bertemakan ‘Peluang Dekat, Pasaran Nyata’ di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Zaib berkata, sektor penjagaan warga emas merupakan antara bidang berpotensi untuk diterokai koperasi menerusi penyediaan perkhidmatan yang profesional, mudah diakses dan dekat dengan komuniti.
Sehubungan itu, IKMa telah mengadakan perbincangan dengan dua rakan strategik bagi meneliti kaedah penglibatan koperasi dalam penubuhan rumah penjagaan warga emas, termasuk penyediaan latihan, bimbingan dan sokongan kepakaran.
Beliau turut menggalakkan anggota koperasi mengetengahkan idea perniagaan baharu dalam mesyuarat lembaga dan mesyuarat agung supaya setiap peluang dapat dinilai berdasarkan keperluan sebenar anggota serta potensi pasaran.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia merekodkan sebanyak 16,468 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang berdasarkan statistik tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan potensi besar gerakan koperasi dalam memperluas penyertaan ekonomi masyarakat.
Mohd Zaib berharap penganjuran program seumpama itu dapat menjadi pemangkin kepada koperasi untuk menterjemahkan ilmu dan idea kepada inisiatif perniagaan yang berdaya maju serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS