Pusat Pemprosesan Gula Apong Pusa Siap September 2027
KUCHING: Pusat Pemprosesan dan Pengumpulan Komoditi (CPPC) Gula Apong di Kampung Tambak, Pusa dijangka siap pada September 2027 selepas pembinaannya bermula pada 16 Mac 2026 menerusi projek bernilai RM11 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek itu mempunyai tempoh kontrak selama 18 bulan dan menjadi antara komponen utama pembangunan ladang serta perusahaan nipah bersepadu di kawasan berkenaan.
“Di bawah BDDA, projek Pembangunan Ladang dan Perusahaan Nipah Bersepadu dan CPPC Gula Apong di Kampung Tambak, Pusa menerima peruntukan RM11 juta, melibatkan kawasan nipah seluas 14.6 hektar, termasuk 4.3 hektar yang ditanam secara ladang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Jumaat.
Pembangunan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh industri gula apong melalui peningkatan bekalan nira, pemodenan pemprosesan serta pembangunan usahawan dan pemasaran produk.
Selain projek berkenaan, beliau memberitahu bahawa kerajaan turut memperuntukkan RM700,000 bagi penyediaan mesin dan peralatan pemprosesan menerusi Projek Pembangunan Usahawan Sagu dan Nipah di kawasan DUN Beting Maro.
“Kesemua inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengeluaran, nilai tambah produk dan pendapatan masyarakat setempat,” ujarnya lagi.
Selain itu, Program Peningkatan Produktiviti Pekebun Kecil Nipah bagi Kelestarian Bekalan Nira yang dilaksanakan oleh Sarawak Nipah Development Board (SNDB) turut menerima peruntukan RM1 juta di bawah RP1 2026, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). -EDISI UKAS