UNIFOR Salur RM20 Juta Naik Taraf Infrastruktur 129 Sekolah Mubaligh
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf infrastruktur 129 sekolah mubaligh di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk membantu sekolah mubaligh menangani keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan pendidikan.
“Bantuan ini sememangnya membawa perubahan besar kepada sekolah mubaligh, gereja dan rumah-rumah ibadat.
“Sebelum program ini diperkenalkan, mereka menghadapi banyak kesukaran untuk menyelenggara gereja, membina gereja baharu dan melakukan perkara yang sama bagi sekolah.
“Oleh itu, bagi pihak semua penerima bantuan pada hari ini, kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas bantuan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek bantuan kepada sekolah mubaligh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab ke atas UNIFOR memberitahu, penyerahan fasa pertama tahun ini tersebut melibatkan enam badan gereja, dengan Anglican Diocese of Kuching menerima RM7,751,900, diikuti Roman Catholic Archdiocese of Kuching sebanyak RM4,961,216 dan Roman Catholic Diocese of Sibu sebanyak RM3,565,874.
Roman Catholic Diocese of Miri pula menerima RM1,085,266 manakala Persidangan Tahunan Iban Methodist Sarawak (SIAC) menerima RM1,240,402 dan Persidangan Tahunan Cina Methodist Sarawak (SCAC) sebanyak RM1,395,342.
Pihak Berkuasa Sekolah Mubaligh diwakili oleh barisan penasihat mereka yang terdiri daripada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn mewakili Anglican Diocese of Kuching, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil bagi Roman Catholic Archdiocese of Kuching, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan bagi Roman Catholic Diocese of Sibu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin bagi Roman Catholic Diocese of Miri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Istiadat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat mewakili SIAC serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom bagi SCAC. -EDISI UKAS