Nur Syakura Terima Penghargaan Premier Sarawak Atas Kejayaan Antarabangsa
KUCHING: Kejayaan anak Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa merangkul gelaran Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2026 mendapat penghargaan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Penghargaan itu dizahirkan ketika Premier Sarawak menerima kunjungan hormat delegasi Majlis Islam Sarawak (MIS) bersama Nur Syakura di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Jumaat.
Kunjungan tersebut turut memberi peluang kepada Nur Syakura mempersembahkan trofi kemenangan yang diraihnya dalam pertandingan berprestij itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika ditemui pemberita, Nur Syakura berkata, Premier Sarawak menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaiannya yang berjaya mengharumkan nama Malaysia, khususnya Sarawak di pentas antarabangsa.
"Premier Sarawak mengucapkan tahniah dan terima kasih atas mengharumkan nama Malaysia khususnya Sarawak untuk progran peringkat antarabangsa," katanya.
Mengulas perancangan masa depan, Nur Syakura berhasrat memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki untuk membimbing serta melahirkan lebih ramai qari dan qariah berbakat dari Sarawak.
Menurutnya, perkongsian ilmu dan pengalaman merupakan antara usaha yang ingin diteruskan bagi memastikan generasi pelapis mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang tilawah al-Quran.
Beliau turut berharap kejayaannya menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu al-Quran dan mengangkat nama Sarawak ke peringkat lebih tinggi.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini