Kesedaran Masyarakat Penting Elak Diskriminasi Kanak-kanak Sumbing
BINTULU: Masyarakat perlu meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai keadaan sumbing bagi memastikan kanak-kanak yang terjejas tidak berdepan ejekan atau diskriminasi dalam kehidupan seharian.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat penghormatan, galakan dan peluang sama rata di sekolah serta dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya, semua pihak bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang menyokong penerimaan dan membina keyakinan diri kanak-kanak dengan sumbing bibir atau lelangit.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat penghormatan, galakan dan peluang dalam kehidupan di sekolah serta komuniti.
“Kita tidak seharusnya mengejek atau mendiskriminasi mereka dalam masyarakat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng semasa majlis perasmian Sarawak Cleft Conference 2026 dan Sarawak Cleft Awareness Carnival 2026 di Imperial Hotel pada Jumaat.
Beliau berkata, aktiviti kesedaran yang dianjurkan menerusi program itu turut bertujuan mendidik masyarakat, membetulkan salah tanggapan mengenai keadaan sumbing serta memberikan sokongan moral kepada pesakit dan keluarga mereka.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penjagaan menyeluruh bagi pesakit sumbing memerlukan kerjasama pelbagai profesional kesihatan, termasuk pakar perubatan, profesional pergigian, ahli terapi pertuturan dan jururawat.
Katanya, persidangan itu diharap dapat memperkukuh kerjasama, perkongsian kepakaran dan penyelarasan perkhidmatan bagi meningkatkan akses kepada penjagaan khusus untuk pesakit yang memerlukan.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa dan penjaga mendapatkan maklumat yang tepat daripada pasukan kesihatan serta memanfaatkan sokongan yang tersedia bagi memastikan kebajikan anak-anak mereka terus terpelihara. - EDISI UKAS