Miri Antara 12 PBT Negara Diiktiraf Bandar Pelancongan Bersih ASEAN 2026
MIRI: Pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Standard 2026 yang diterima Miri mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan serantau, sekali gus mencerminkan usaha bersepadu pelbagai pihak dalam memastikan kebersihan bandar, keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Majlis Bandaraya Miri (MCC) dalam kenyataan berkata, Miri merupakan antara 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang menerima pengiktirafan berkenaan di bawah Standard Pelancongan ASEAN pada majlis penganugerahan peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di Putrajaya.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan MCC bersama agensi kerajaan, pemain industri pelancongan, sektor swasta dan masyarakat setempat dalam membangunkan Miri sebagai bandar yang bersih, selamat, mampan dan mesra pengunjung.
Penilaian standard berkenaan merangkumi beberapa aspek utama, termasuk kebersihan bandar, pengurusan alam sekitar, keselamatan awam, kemudahan pelancongan, infrastruktur, kesihatan awam serta amalan pelancongan mampan.
Menurut MCC, pencapaian itu merupakan hasil kerjasama pelbagai agensi melalui penyelarasan antara jabatan, perkongsian maklumat dan sesi penilaian bagi memastikan standard pelancongan ASEAN dapat dipenuhi.
MCC turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat, termasuk Lembaga Pelancongan Sarawak, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan Bahagian Miri, Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Perhutanan Sarawak serta wakil industri perhotelan dan pelancongan.
Majlis itu turut menegaskan bahawa kejayaan berkenaan merupakan pencapaian bersama seluruh warga Miri, termasuk pengusaha perniagaan, penyedia perkhidmatan pelancongan, pengusaha hotel, pertubuhan masyarakat, sukarelawan dan orang awam.
Kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan kawasan awam, menguruskan sisa dengan betul, melindungi alam sekitar dan menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pengunjung penting bagi memastikan Miri kekal menarik dan selesa untuk dikunjungi.
Sebagai pintu masuk ke utara Sarawak dan destinasi berhampiran tarikan alam semula jadi bertaraf dunia seperti Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Miri terus memainkan peranan penting dalam industri pelancongan negeri.
Pengiktirafan itu dijangka mengukuhkan imej Miri sebagai destinasi pelancongan dan acara perniagaan, selain menyokong usaha meningkatkan pengalaman pengunjung serta merancakkan pembangunan pelancongan mampan.
MCC menegaskan komitmennya untuk terus menambah baik kebersihan bandar, kelestarian alam sekitar, kemudahan awam, penyelenggaraan infrastruktur, aksesibiliti dan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan penduduk serta keselesaan pelawat. -EDISI UKAS