Reka Bentuk Rumah PPRS Ditambah Baik, Utamakan Keselesaan Penerima
KOTA SAMARAHAN: Reka bentuk rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) terus ditambah baik bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa, teratur dan memenuhi keperluan keluarga penerima bantuan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penambahbaikan itu merangkumi susun atur ruang, aspek privasi serta peningkatan keluasan rumah daripada kira-kira 660 kepada 680 kaki persegi.
"Kerajaan turut meneliti cadangan memasukkan elemen mesra orang kurang upaya (OKU), termasuk penyesuaian kemudahan tertentu bagi memenuhi keperluan penerima yang mempunyai keterbatasan pergerakan," katanya ketika menghadiri majlis penyerahan Surat Penerimaan PPRS di Kampung Bukit Berangan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah memberitahu,
bagi kawasan Kota Samarahan, sebanyak 14 rumah baharu dilaksanakan di bawah GIATMARA, termasuk dua rumah di Kampung Bukit Berangan dengan kos pembinaan RM85,000 bagi setiap rumah.
Beliau turut menjelaskan kelayakan pemohon dan status tapak perlu diberi perhatian bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan teratur serta mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan proses pembinaan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkaitan terus bekerjasama memantau pelaksanaan projek dan memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada penerima. -EDISI UKAS