830 Benih Ikan Baung Dilepas, Perkasa Kelestarian Sungai Sap
TATAU: Sebanyak 830 ekor benih ikan baung dilepaskan ke Sungai Sap, Tatau sebagai usaha menambah stok ikan serta memastikan sumber perikanan terus lestari untuk dinikmati generasi akan datang.
Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Jackson Nanta berkata, sungai bukan sahaja menjadi sumber makanan, malah turut menyumbang kepada pendapatan serta kehidupan masyarakat setempat.
“Pemeliharaan sungai perlu diberi perhatian supaya sumber semula jadi berkenaan terus memberi manfaat kepada masyarakat bukan sahaja pada masa kini, malah kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum di Sungai Sap, Tatau pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kebersihan sungai serta menggunakan kaedah penangkapan ikan yang dibenarkan bagi mengelakkan kemusnahan habitat dan hidupan akuatik.
Dalam pada itu, Jackson turut mengingatkan masyarakat agar mengelakkan penggunaan kaedah penangkapan ikan yang merosakkan seperti tuba atau racun, pukat tidak dibenarkan, bahan letupan dan renjatan elektrik.
Katanya, kaedah tersebut bukan sahaja menjejaskan populasi ikan, malah boleh mengganggu keseimbangan ekosistem sungai dalam jangka panjang.
Program anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu itu turut disertai taklimat berkaitan penangkapan ikan secara terlarang, termasuk aspek penguatkuasaan dan peruntukan di bawah Ordinan Perikanan Negeri 2003.-EDISI UKAS