Dua Keluarga Di Kampung Bukit Berangan Terima Bantuan PPRS RM170,000
KOTA SAMARAHAN: Dua keluarga di Kampung Bukit Berangan menerima bantuan pembinaan rumah baharu berjumlah RM170,000 menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Penyerahan Surat Penerimaan (Letter of Acceptance, L.A.) kepada penerima disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, pada Jumaat.
Kedua-dua penerima, Mohamad Narawi dan Rosilawati Mohamad, masing-masing menerima bantuan bernilai RM85,000 bagi pembinaan rumah baharu.
Datuk Rubiah berkata, PPRS merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya kumpulan B40 dan mereka yang berdaftar dalam sistem eKasih, mendapatkan kediaman yang lebih selesa serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.
Menurutnya, program yang sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu dijenamakan semula dengan pendekatan lebih positif, selaras dengan matlamat membantu penerima membina kehidupan yang lebih baik.
"Apabila keperluan tempat tinggal dipenuhi, keluarga penerima dapat memberikan lebih banyak perhatian kepada usaha meningkatkan taraf ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial masing-masing," katanya.
Beliau berharap agensi pelaksana dapat memastikan pembinaan rumah disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, dengan kerjasama ketua kaum dan penduduk kampung dalam memantau kemajuan projek serta menyalurkan sebarang isu untuk tindakan sewajarnya.
Selain itu katanya, status pemilikan dan kesediaan tapak perlu diselesaikan sebelum projek dimulakan bagi mengelakkan kelewatan atau masalah sepanjang proses pembinaan. -EDISI UKAS