Kuching Tuan Rumah Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 26-29 Oktober 2026
KUCHING: Bandaraya Kuching bakal menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 2026 (MTQBB) dari 26 hingga 29 Oktober ini, menghimpunkan 32 peserta dari Sarawak, Sabah, Negara Brunei Darussalam dan lima provinsi Kalimantan, Indonesia.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, penganjuran MTQBB merupakan platform syiar Islam peringkat serantau bagi memartabatkan al-Quran, memperkukuh ukhuwah serta mengeratkan kerjasama strategik antara wilayah dan negara di Borneo.
"Setakat ini ada 32 peserta daripada Sabah, Sarawak, Brunei, dan lima provinsi Kalimantan di mana dan tilawah akan bermula pada 26, dirasmikan oleh Premier Sarawak pada 27, dan insya-Allah pada 29 akan dirasmikan penutupan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar," katanya.
Bertemakan Ummah Maju Makmur, MTQBB 2026 akan menampilkan dua acara utama iaitu tilawah al-Quran yang melibatkan sembilan qari dan lapan qariah, serta hafazan al-Quran yang disertai lapan hafiz dan tujuh hafizah.
Selain pertandingan utama, program berkenaan turut merangkumi Bicara Ilmuwan Se-Borneo, pameran dan kuiz al-Quran sebagai pengisian sampingan.
Pertandingan tilawah dan hafazan akan berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak, manakala pameran diadakan di Central Court, Bangunan Majma' dan Bicara Ilmuwan Se-Borneo di Islamic Information Centre.
Bagi pertandingan tilawah, johan bakal menerima hadiah wang tunai RM20,000, naib johan RM14,000, tempat ketiga RM10,000 dan hadiah saguhati RM3,000.
Sementara itu, pertandingan hafazan menawarkan RM10,000 kepada johan, RM8,000 bagi naib johan, RM6,000 untuk tempat ketiga dan RM2,000 bagi hadiah saguhati. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini