Transformasi Industri Padi Perlu Seiring Peningkatan Pendapatan Pesawah
KUCHING: Transformasi industri padi Sarawak perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada peningkatan pengeluaran beras, malah memastikan pendapatan pesawah lebih stabil dan kehidupan mereka terbela.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, komitmen RM1 bilion bagi transformasi industri padi Sarawak yang melibatkan 14,000 hektar, dengan peruntukan RM20.47 juta pada 2027 serta sasaran mencapai tahap sara diri beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030, perlu disusuli pelaksanaan tersusun yang memberi manfaat langsung kepada pesawah.
Menurutnya, inisiatif terbabit memerlukan penyelarasan lebih berkesan antara Kerajaan Sarawak, agensi Persekutuan dan pelaksana Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar.
“Keselamatan makanan tidak boleh dipisahkan daripada kesejahteraan pesawah yang menghasilkan makanan tersebut.
“Kita tidak mahu keluasan bertambah tetapi hasil dan pendapatan kekal tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pembangunan industri padi perlu merangkumi penambahbaikan sistem saliran dan pengairan, kawalan banjir, jalan ladang, bekalan benih berkualiti, penggunaan jentera serta khidmat nasihat pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban pengeluaran pesawah.
“Projek yang dibangunkan perlu disertai jadual pelaksanaan yang dapat diketahui pesawah,” tegasnya.
Katanya lagi, pendekatan itu penting bagi memastikan kejayaan transformasi industri padi dinilai berdasarkan peningkatan produktiviti dan taraf hidup pesawah, bukan semata-mata pertambahan keluasan kawasan penanaman.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya mekanisme dialog berkala diwujudkan dengan melibatkan pesawah, pertubuhan peladang dan agensi teknikal bagi mengenal pasti serta menangani masalah di lapangan dengan lebih awal.
Beliau berkata, akses kepada jentera pertanian dan modal pusingan juga perlu diberi perhatian, khususnya bagi petani kecil yang berdepan kekangan untuk mengembangkan operasi mereka.
“Jangan sampai tanah kita menghasilkan makanan, tetapi pesawah kita terus hidup dalam kesempitan,” katanya. -EDISI UKAS