Kes Denggi Di Maludam Cetus Desakan Perkukuh Pengurusan Sampah
KUCHING: Sebanyak 16 kes denggi dilaporkan di Maludam pada September 2026, mencetus desakan untuk memperkukuhkan pengurusan sampah, kebersihan persekitaran dan penyelenggaraan sistem saliran diperkukuh bagi melindungi kesihatan awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, masalah pembuangan sampah ke dalam sungai dan longkang di kawasan itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah boleh menyekat aliran air, meningkatkan risiko banjir serta mewujudkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Menurutnya, kejadian 16 kes denggi berkenaan sehingga memerlukan gerakan gotong-royong secara besar-besaran menunjukkan kepentingan tindakan pembersihan yang lebih sistematik dan berterusan, bukannya hanya dilaksanakan apabila masalah menjadi serius.
“Persoalannya, adakah kita perlu menunggu sehingga rakyat dimasukkan ke hospital, banjir melanda rumah penduduk atau wabak semakin merebak, barulah tindakan pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, isu kebersihan perlu dilihat sebagai perkara berkaitan kesihatan awam, keselamatan rakyat dan kecekapan pentadbiran, khususnya dalam melindungi golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak daripada komplikasi serius akibat denggi.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut membangkitkan keadaan pengurusan sampah di Sri Aman, terutama di kawasan lot kedai komersial, pasar tamu dan tempat pengumpulan sampah yang didakwa kotor serta mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan keselesaan peniaga, pelanggan dan pengunjung, sedangkan bandar itu merupakan pusat kegiatan ekonomi dan perkhidmatan penting kepada penduduk di kawasan sekitarnya, termasuk masyarakat di DUN Lingga.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri melalui kementerian berkaitan dan pihak berkuasa tempatan memperkenalkan Sistem Penilaian Prestasi Kebersihan Daerah yang dilaksanakan secara berkala di seluruh Sarawak.
Sistem itu katanya, perlu menilai keberkesanan kutipan sampah, kebersihan pasar dan kawasan komersial, keadaan tempat pengumpulan sisa, penyelenggaraan longkang dan parit serta kecekapan menangani aduan masyarakat. -EDISI UKAS