KUCHING: Liputan internet di Sarawak mengikut penempatan mencapai 94.5 peratus menerusi 4,696 menara telekomunikasi yang beroperasi setakat Disember 2025.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, usaha memperluas liputan internet akan diteruskan secara berperingkat bagi menangani kawasan yang masih mengalami masalah liputan.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Fasa JENDELA oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang merangkumi pembinaan menara telekomunikasi baharu serta penyediaan penyelesaian internet berasaskan satelit di luar grid di 337 lokasi.
"Inisiatif tersebut kini berada pada peringkat tender dan dijangka bermula pada suku pertama 2027," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Bagi kawasan luar bandar, Datuk Liwan memberitahu, sebanyak 618 menara Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dan 196 menara telekomunikasi lain menyediakan sambungan internet menerusi perkhidmatan Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).
Ujarnya, liputan tersebut turut dipertingkat melalui penyediaan sambungan gentian optik berkelajuan tinggi ke rumah (FTTH) di bawah MySRBN XL dengan memanfaatkan infrastruktur Pusat Kehadiran (Point-of-Presence, PoP). -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery